Dulu masa awal-awal dapat kerja, bila balik kampung ada kenalan yang kata: “Mi jadi pegawai, besar lah gaji deh. Duk Sarawak pulak banyak elaun”.

Saya paham, gaji besar maknanya kaya la.

Masa saya zaman universiti dulu, ada artikel akhbar yang jadi viral masa tu, senarai pekerjaan yang ‘high-pay job’. Daripada gaji yang paling tinggi sehingga gaji yang paling rendah.

Maka ramai la kawan-kawan yang target nak kerja pekerjaan yang bergaji besar itu. Doktor, jurutera, pilot kapal terbang.. sebab dapat gaji banyak, cepat lah kaya..

Tapi bila dah berkerjaya makan gaji lebih 5 tahun, saya temui teori ini SALAH. Ajaran itu saya rasa terpesong. Sejak kecil kita diajar, jika mahukan wang yang banyak, kita perlu belajar pandai-pandai supaya boleh jadi doktor, akauntan, peguam dan ahli perniagaan.

Kerjaya tak menjamin jalan dapatkan wang. Anda patut jadi doktor kerana mahu berkhidmat kepada masyarakat dan merawat orang sakit. Bukan kerana nak cepat kaya. Anda perlu jadi peguam atau hakim kerana anda mahu keadilan, bukan untuk mendapatkan wang.

Sebab apa ramai orang dapat duit secara kotor dengan perkerjaan mereka? Majoriti mereka yang pecah amanah adalah kakitangan kerajaan? Kerana mereka anggap kalau nak cepat kaya, melalui pekerjaan.

Teori yang paling tepat adalah, jika kita inginkan wang yang banyak, kita perlu belajar mengenai wang. Jika kita faham mengenai wang, kita akan kaya walau apa pun kerjaya kita.

Saya terbaca satu buku, antara orang terkaya di India, pernah bekerja sebagai pembantu pam di stesen minyak.